KELEBIHAN PETA I-THINK

Kegunaan peta pemikiran i-think membawa banyak kebaikan kepada diri saya khususnya sebagai seorang pelajar. Antaranya ialah memudahkan saya untuk membuat nota bagi sebarang sumber sama ada daripada bahan bacaan, kuliah, taklimat, dan sebagainya. (Kiong, 2010) Contohnya, mencatat isi penting yang diberikan semasa kuliah dalam bentuk yang ringkas. Ini kerana setiap peta pemikiran i-think hanya perlu dihasilkan dalam bentuk yang ringkas dan padat.  Oleh itu, secara tidak langsung dapat menambah minat saya dalam mebuat ulangkaji.
Selain itu, peta pemikiran i-think juga dapat memudahkan saya untuk memahami sesuatu tajuk dengan cepat terutamanya semasa membuat ulangkaji pelajaran atau bahan bacaan.  Walaupun ianya ringkas, namun tetap memberi makna yang nyata dan tersirat. Contohnya, hanya menulis dua hingga tiga perkataan sahaja untuk sesuatu isi namun ianya membawa maksud yang sangat jelas. Intihanya, peta pemikiran i-think dapat membantu saya dalam meningkatkan kefahaman bagi sesuatu subjek.
Bukan itu sahaja, peta pemikiran i-think juga dapat meningkatkan daya ingatan saya dalam mengingat sesuatu isi penting terutamanya bagi sesuatu tajuk yang susah dan rumit. (Mimi, 2011) Contohnya, membuat ringkasan dengan mengambil isi penting daripada sebuah karangan dan menjadikannya ringkas dan padat. Hal ini kerana, satu-satu peta pemikiran i-think itu biasanya dibuat secara ringkas dengan menggunakan isi yang penting sahaja. Kesimpulannya, peta pemikiran i-think merupakan suatu jalan mudah untuk mengingat sesuatu isi penting dengan mudah.
Peta pemikiran i-think juga dapat menggabungkan fungsi bahagian otak kiri dengan otak kanan semasa belajar. (Kiong, 2010) Hal ini kerana, lazimnya peta pemikiran i-think yang dibuat memerlukan seseorang untuk menulis isi-isi penting, melukis bentuk-bentuk peta pemikiran i-think yang sesuai dan mengingatinya. Contohnya, melukis peta Circle Map, Bubble Map, Double Bubble Map, Tree Map dan sebagainya. (Vishalache, 2014) Deduksinya, aktiviti ini secara langsung dapat menyeimbangkan penggunaan otak pada bahagian kiri dan kanan dalam waktu yang sama.
Di samping itu, peta pemikiran i-think juga dapat membantu saya untuk mengingat kembali isi-isi penting bagi sesuatu tajuk dengan pantas terutamanya bagi subjek-subjek yang susah dan rumit. (Kiong, 2010) Catatan yang dicatat dalam peta pemikiran i-think tidak perlu dicatat dengan menggunakan ayat yang penuh, cukuplah dengan hanya menggunakan perkataan mahupun ayat yang ringkas agar mudah untuk diimbas kembali dalam jangka masa yang panjang. Contohnya, memperbanyakkan penggunaan ayat tunggal berbanding ayat majmuk. Oleh itu, proses ulangkaji yang dilakukan dapat dijalankan dengan cepat dan berkesan serta menjimatkan masa.

Malahan, peta pemikiran i-think juga dapat menarik minat saya untuk membaca dan memahami sesuatu subjek yang sukar difahami dalam erti kata lain iaitu subjek yang terlalu banyak fakta terkandung di dalamnya. Hal ini kerana, kebanyakkan pelajar lebih suka membaca nota yang ringkas dan mudah difahami serta diingati berbanding fakta yang panjang lebar. Contohnya seperti subjek sejarah. Oleh itu, secara tidak langsung akan memudahkan saya untuk mengingat sesuatu fakta dengan hanya menggunakan perkataan yang ringkas tetapi mudah difahami dan diingati.

Comments

Popular posts from this blog